Khamis minggu lalu saya ke Kulim. Buat rawatan refleksologi kaki. Tiba pun sudah lewat. Pukul 7 malam. Mujur perawat masih sudi merawat. Mujur ada kawan meneman. Alhamdulillah, 10 minit kemudian urusan selesai. Sempat beli sebotol madu.
Selesai urusan kaki, kami singgah ke masjid berhampiran. Sebaik kami melangkah kaki ke dalam masjid, azan pun berkumandang! Bergegas ke bilik air, berwuduk... Elok lengkap bertelekung, iqamat kedengaran. Sudah lama tidak solat berjemaah. Kekangan lokasi pejabat yang jauh dari surau dijadikan alasan (kini jangan guna alasan ini lagi!). Alhamdullilah..dapat mengaminkan doa imam pada solat kali ini. Selesai berjemaah kami mencari kedai makan. Perut sudah berkeroncong. Minta diisi. Niat dalam hati, moga Allah tunjukkan kedai yang halal dan bersih. Alhamdulillah... jumpa kedai makan Jintan Manis. Lalu kami pun pulang....
Itu apa yang berlaku minggu lalu. Agaknya kerana sudah lama tidak solat berjemaah, maka solat kali ini sungguh terkesan di hati saya. Setiba kami di kawasan masjid, kami agak terkejut melihat jemaah yang agak ramai. Ini termasuklah jemaah wanita. Kemudian, imam telah memberikan bagi tempoh yang agak lama antara azan Maghrib sehingga iqamat, kerana saya sempat berwudhuk, bertelekung lengkap. Malahan para jemaah yang baru tiba antara tempoh itu pun agak ramai dan ini menambahkan bilangan jemaah dalam saf. Bukan selalu saya melihat situasi ini. Biasanya imam akan memulakan solat berjemaah agak cepat sehinggakan saya yang tiba di masjid semasa azan dan kemudian berwudhuk di masjid hanya mampu masuk ke saf pada rakaat kedua. Jadi, apabila saya solat di masjid tersebut saya rasa tenang kerana tidak perlu tergesa-gesa. Satu bintang untuk tuan imam kerana mempertimbangkan masa untuk jemaah dan kita bagi satu bintang lagi untuk masjid ini kerana bilangan jemaahnya yang agak ramai berbanding masjid-masjid lain yang saya pernah temui.
Kemudian semasa solat, imam membaca surah Al-Fatihah dan surah lazim dengan sangat sedap. Surah yang dibacakan pendek sahaja, namun bersesuaian dengan tempoh makmum membaca Al-Fatihah, tidak pula terlalu lama. Satu bintang lagi.
Apabila selesai solat, imam mengetuai zikir selepas solat. Mungkin mempertimbangkan nafas para jemaah yang tidaklah panjang sangat (seperti saya), maka harkatnya pun pendek-pendek. Ye la, nama pun zikir. Tapi sekurang-kurangnya tidaklah susah kami mahu senada dengan zikir pak imam. Saya beri satu bintang...
Akhir sekali, semasa berdoa, sayu rasanya hati mendengar doa yang diucapkan oleh imam. Memang memohon sepenuh hati. Dan saya mengaminkannya sepenuh hati. Tambah satu bintang. Semua sekali lima bintang untuk masjid ini. Syukur dapat menjadi jemaah di masjid ini. Semoga Allah menambahkan lagi bilangan jemaah di sini.
Selesai solat saya berbual-bual dengan teman yang ikut sekali tadi. Dia pun memuji imam tersebut.Tambah beliau lagi, Ustaz Kazim ada mengingatkan dalam salah satu ceramahnya. Para muazzin haruslah menjaga suara. Jaga makanan dan minuman yang diambil. Contohnya minuman berais. Jika muazzin mengalunkan azan dengan merdu, bukan kita sebagai orang Muslim sahaja yang akan terpanggil ke masjid. Malahan orang bukan Islam pun akan tersentuh hatinya mendengar azan tersebut. Sedikit info mengenai azan di sini.